Cumburu Punca Bayi Dibunuh Empat Rakan

Empat remaja perempuan warga asing ditahan polis berhubung kematian bayi lelaki dipercayai akibat didera di Taman Hatib, Semporna, semalam. Foto Ihsan Polis.

KOTA KINABALU: Cemburu dipercayai menjadi punca seorang wanita bersama tiga rakannya bertindak kejam membelasah seorang bayi lelaki berusia 20 bulan sehingga mati.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata siasatan mendapati suspek warga asing berusia 19 tahun itu dipercayai cemburu kerana mengesyaki teman lelakinya menyukai ibu bayi terbabit yang juga rakan serumahnya.

“Punca kejadian kerana suspek mengesyaki teman lelakinya menyukai ibu bayi terbabit hingga bertindak menampar, melempar mangsa ke tilam dan menariknya semula menyebabkan muka mangsa terkena besi. Suspek turut membungkus mangsa dengan selimut selama lima minit.

Omar Mammah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Seorang lagi suspek berusia 18 tahun turut memijak belakang mangsa manakala dua lagi suspek berumur 16 dan 18 tahun juga terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, hari ini.

Omar berkata, semua suspek kini direman sehingga 27 September depan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, bayi lelaki berusia 20 bulan itu ditemui keadaan lemah, pucat dan tidak bernafas oleh ibunya di kediaman mereka di Taman Hatib, Semporna, kira-kira jam 12 tengah hari.

Berikutan itu, ibu bayi terbabit membawa anaknya ke Hospital Semporna untuk rawatan.

Bagaimanapun keadaan bayi itu makin kritikal dan disahkan meninggal dunia enam jam kemudian.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *