Seramai 551 Individu Terbabit Dadah Ditahan

Mohd. Haris dalam sidang media di IPD Penampang.

PENAMPANG: Seramai 551 individu ditahan berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah di daerah ini dan Putatan bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Suprintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 924 operasi dilakukan menerusi Op Tapis dan Op Sarang.

“Seramai 551 individu yang ditahan membabitkan kes bekalan, memiliki dadah dan urin.

“Selain itu, polis turut merampas 155.13 gram syabu bernilai RM23,269, 4.28 gram ketamin (RM2,568), 3.78 gram ganja (RM756) dan 1.15 gram pil ekstasi bernilai RM345,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, semua suspek sudah dituduh di mahkamah dan sebahagiannya sedang menjalani hukuman penjara.

“Polis tidak akan berlembut dalam menangani aktiviti jenyah dadah dan akan terus membanteras menerusi operasi-operasi khususnya di daerah ini.

“Oleh itu, saya menasihati kepada masyarakat khususnya di daerah ini supaya tidak terjebak dalam kancah penagihan dadah yang boleh menghancurkan masa depan mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, bagi tempoh sama, IPD Penampang turut menjalankan pelbagai operasi untuk membanteras aktiviti perjudian daripada berleluasa di daerah itu.

“Sebanyak 76 kertas siasatan dibuka hasil serbuan dilakukan termasuk di Putatan. Daripada jumlah itu, 62 adalah nombor ekor haram, 13 judi dalam talian dan satu adalah judi ketam-ketam.

“Dalam tempoh itu, 91 suspek ditahan iaitu 51 lelaki dan 40 wanita manakala 45 daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka dituduh di mahkamah.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM18,560 dan semua kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *