Lakukan Aksi ‘Zig Zag’ & ‘Wheelie’, Dua ‘Mat Rempit’ Ditahan

Motosikal seorang daripada lelaki yang ditahan dalam operasi berkenaan. Foto Ihsan Polis Labuan

LABUAN: Tindakan penuntut kolej membuat aksi berbahaya ketika menunggang motosikal membawa padah apabila ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Pohon Batu, Labuan, semalam.

Dalam kejadian 1.40 pagi itu, lelaki berusia 19 tahun terbabit ditahan ketika melakukan aksi ‘zig zag’ bersama sekumpulan penunggang motosikal lain.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika operasi itu, sekumpulan motosikal dilihat sedang berlumba sambil melakukan aksi berbahaya.

“Kumpulan itu dilihat melakukan aksi ‘zig zag’ serta membongkok badan di atas motosikal dan seorang daripada penunggang motosikal cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan ketika ditahan.

“Lelaki itu kemudian berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan pada sebuah motosikal jenis Y15ZR didapati diubah suai di bahagian ekzos,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan yang disita mengikut Seksyen 64 (1) akta yang sama.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan, seorang lelaki turut ditahan selepas dilihat melakukan aksi ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan motosikal yang ditunggangnya di Jalan Kinabenua, Labuan kelmarin.

Muhamad Farid berkata, dalam kejadian 1.45 tengah hari, lelaki berusia 24 tahun ditahan bersama motosikal jenis Honda EX5.

“Tangkapan dibuat ketika sepasukan anggota menjalankan risikan basikal lajak di Jalan Bukit Timbalai sebelum terserempak dengan penunggang motosikal terbabit.

“Anggota kita terserempak dengan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki yang melakukan aksi ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan motosikalnya.

“Penunggang motosikal itu kemudian ditahan dan diperiksa sebelum motosikalnya turut disita serta di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *