Sabah Milik Semua Rakyat, Bukan Satu Kaum Sahaja

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan Sabah bukan dimiliki oleh satu kaum tertentu sahaja tetapi dikongsi oleh masyarakat daripada pelbagai bangsa dan agama.

Ketua Menteri berkata, sehubungan itu, semua kaum perlu bekerjasama ke arah mencapai kemakmuran dan kesejahteraan demi seluruh rakyat Sabah.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan setiap pemimpin bahawa mereka tidak boleh memberi fokus kepada satu kaum tertentu kerana undi yang diterima semasa pilihan raya adalah daripada rakyat berbilang kaum.

“Sabah bukan dimiliki oleh kaum Bajau sahaja atau orang Kadazan Dusun sahaja, Sabah juga milik kaum Cina. Ini adalah negeri dan negara anda juga, kita mesti bekerjasama tidak kira siapa.

“Mereka yang mengundi kita bukan sahaja Bajau, Kadazan Dusun Murut tetapi juga orang Cina. Kerajaan yang ada sekarang adalah untuk semua rakyat bukan satu kaum atau agama sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Mid Autumn dan Perayaan Kuih Bulan Foh Sang di Kota Kinabalu malam tadi.

Lebih 5,000 masyarakat pelbagai kaum hadir ke karnival berkenaan yang turut diserikan dengan persembahan kebudayaan.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong; Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick.

Menurut Mohd. Shafie, dalam membangunkan Sabah, kunci utama adalah perpaduan dan kesepakatan kerana tanpa prinsip itu, apa sahaja yang dirancang tidak akan berjaya.

Tegas beliau, tiada alasan untuk Sabah tidak dibangunkan kerana kekayaan sumber yang di Sabah banyak untuk diterokai.

“Kita mesti bangunkan Sabah dan satu-satunya cara ialah perpaduan. Mesti ada satu gerakan besar-besaran oleh semua Sabahan untuk bekerjasama demi menjayakan agenda pembangunan.

“Sebab itulah kita mesti mengenepikan perbezaan kaum yang ada dan menjadi contoh kepada orang lain,” kata beliau.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *