MKN Atasi Isu Komuniti Pala’u Di Sabah

Kanak-Kanak Pala’u

LAHAD DATU: Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah berhubung isu yang melingkari komuniti Pala’u di Sabah khususnya di daerah ini.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Dr Mohammad Ayub Yaacob langkah penyelesaian melibatkan tiga jawatankuasa pada peringkat negeri yang diterajui oleh MKN.

“Jawatankuasa pertama yang ditubuhkan membabitkan bancian terhadap komuniti Pala’u sama ada di laut atau di darat.

“Hasil kerjasama bancian, antara Pejabat Daerah, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) serta Jabatan Perangkaan merekodkan data terdapat 1,200 orang Pala’u di Lahad Datu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Komuniti Pala’u adalah orang yang tidak memiliki warganegara dan mereka sering dikaitkan dengan kegiatan negatif seperti mengemis di jalanan dan menghidu gam. 

Mohammad Ayub berkata jawatankuasa kedua yang diwujudkan pula, berhubung identiti Pala’u dan penubuhannya akan diuruskan oleh Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri dan Penyelidikan di Jabatan Ketua Menteri.

Manakala jawatankuasa ketiga, kata beliau, membabitkan penempatan untuk komuniti itu.

“Sekiranya diizinkan (rancangan penempatan Pala’u) biarlah Lahad Datu menjadi projek perintis, kalau boleh mungkin kita buat (penempatan Pala’u) di Pulau Sakar (Lahad Datu) ini,” katanya.

Beliau berkata penyusunan semula penempatan mereka turut boleh dijadikan tarikan pelancongan di daerah itu.

Namun katanya, perkara itu akan dibincangkan dengan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Tungku, Assafal P Alian.

“Nanti ada pelancong yang berminat (untuk menyaksikan cara kehidupan) dengan komuniti ini, kita boleh terus bawa mereka ke penempatan komuniti tersebut,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *