Zamani Slam Sah Bergelar Suami Kepada Juliana

Zamani berkongsi berita gembira dirinya sudah bergelar suami kepada Juliana, malam tadi. – Foto IG Zamani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Penyanyi Zamani Ibrahim, 48, menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan hati dikenali sebagai Nur Juliana pada sebuah majlis tertutup di sini, malam tadi.

Maklumat daripada perkongsian Instagram Zamani Ibrahim Music Entertainment (Zime) milik penyanyi itu, menyatakan majlis berlangsung secara tertutup atas permintaan keluarga.

“Dengan izin Allah Yang Maha Esa dan Maha Mengetahui, selesai sudah majlis pernikahan saya dan isteri pada 20 September (malam tadi).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang menolong menjayakan majlis ini.

“Saya sekeluarga memohon ampun dan maaf jika ada yang terguris perasaan jika majlis ini berlangsung tanpa pengetahuan mereka. Semua ini demi menghormati permintaan keluarga,” luah Zamani.

Tambah bekas vokalis kumpulan Slam itu, majlis resepsi akan diadakan pada tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kebahagiaan kami,” katanya.

Sementara itu, bekas pengurus Zamani, Johan Aziz yang pernah mengendalikan karier penyanyi berkenaan selama 26 tahun, mendoakan kebahagiaan mereka.

“Saya doakan rumah tangga yang dibina kekal hingga ke jannah.

“Lama mereka berkawan dan inilah keputusan terbaik. Selamat menempuh kehidupan baharu,” katanya.

Sebelum ini, Zamani pernah memberitahu dia merancang menunaikan umrah bersama Juliana, November depan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *