Ketua Adat Diingat Jangan Bangkit Isu Perkauman, Agama – Peter

Datuk Peter Anthony

KENINGAU, 21 Sept: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony mengingatkan ketua-ketua adat supaya tidak membangkitkan isu kaum atau agama kerana dikhuatiri boleh menimbulkan ketegangan dan menggugat keharmonian rakyat.

Beliau, yang juga Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia berkata, ketua adat terdiri daripada Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri serta Ketua Kampung perlu menjalankan tugas mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah di bawah Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Katanya, ketua-ketua adat adalah kakitangan dilantik oleh Kerajaan Negeri, sehubungan itu, menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan segala tindakan diambil tertakluk kepada arahan kerajaan.

“… dan bukannya mengikut telunjuk mana-mana pemimpin parti politik yang ada kepentingan peribadi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri Tulid di Dewan Gereja St. Blasius Kampung Magatang di sini.

Peter turut memberi amaran kepada ketua adat supaya tidak menghadiri majlis mahupun program dianjurkan oleh mana-mana parti politik kerana ia bertentangan dengan etika kerja mereka.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *