Sabah Akan Teruskan Tuntutan MA63

KOTA KINABALU: Tuntutan Sabah ke atas royalti minyak dan pendapatan hasil bumi daripada Kerajaan Persekutuan seperti termaktub di dalam Perjanjian Malaysia (MA63) tidak akan terhenti hanya semata-mata kerana tiada pengumuman baharu daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.

Sebaliknya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, rundingan akan terus dilakukan agar Sabah terus mendapat menfaat daripada kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.

Kata beliau, selain tuntutan royalti minyak dan hasil bumi, kerajaan Sabah juga turut memastikan perkara-perkara lain berkaitan negeri ini sentiasa diutamakan.

“MA63 berada di landasan baik sebahagiannya telah diputuskan seperti Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan telah pun diluluskan untuk kerajaan negeri ambil alih manakala daripada segi keselamatan masih lagi di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti Esscom dan Polis Marin akan memainkan peranan seperti sediakala cuma pengurusan pentadbiran cuma pelancong, bot-bot yang ada kita akan urus tadbir dengan baik.

“Begitu juga beberapa inisiatif bukan saya mahu umumkan tetapi sebenarnya ada banyak inisiatif yang telah kita persetujui dengan Kerajaan Persekutuan termasuk tanah dan hutan yang telah dimaklumkan, tetapi sekarang rundingan masih berjalan baik tentang royalti minyak, tentang 40 peratus ini adalah sebahagian usaha kita akan buat mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ucapan Dr. Mahathir di Kuching, Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia 2019 baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet terutama rakyat Sabah dan Sarawak yang amat mengharapkan sesuatu diberikan kepada negeri masing-masing berkaitan MA63.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, meski pun tiada pengumuman, apa yang penting ialah usaha diteruskan dan Hari Malaysia 2019 berjaya disambut dalam suasana harmoni oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, ditanya tentang pertemuan dengan Dr. Mahathir di pejabatnay kelmarin, menurutnya, perbincangan empat mata itu adalah berkaitan pembangunan negara dan bagaimana Sabah boleh melibatkan diri dengan kekayaan sumber negeri yang ada.

“Kita bincang bagaimana mahu membangunkan negara kita, perlunya kerjasama Sabah memainkan peranan dalam konteks Sabah sebagai sebuah negeri kerana kita sedar dan tahu kerjasama dengan kerajaan pusat ini penting kerana Sabah mempunyai sumber-sumber yang ada yang boleh kita manfaatkan bersama,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *