Pembangunan Ekonomi Mampan, Tiada Dipinggirkan

Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah Saripuddin Hatta berucap semasa merasmikan Persidangan Ekonomi – Foto Facebook Saripuddin Hatta

KOTA KINABALU: Selaras dengan strategi pembangunan kerajaan baharu untuk berkongsi kemakmuran yang dikecapi, Kerajaan Sabah memberi jaminan tiada sesiapa akan dipinggirkan dari terus menikmati pembangunan ekonomi yang dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kebanyakan negara di peringkat global termasuk Malaysia menyasarkan untuk melaksana pembangunan mampan.

Untuk itu, strategi dalam pengurusan sumber manusia perlu diambil kira dengan menitikberatkan nilai dan integriti.

“Masyarakat perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan hasrat mencapai pembangunan mampan di peringkat global dapat direalisasikan bersama,” katanya semasa merasmikan Persidangan Ekonomi Antarabangsa 2019, di sini pada Rabu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Saripuddin Hatta.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 (2021-2025) juga mengambil kira pembangunan mampan. RMK akan terus memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi, alam sekitar mampan dan pembangunan sosial.

Dengan itu, Malaysia perlu lebih inovatif untuk mencapai pembangunan mampan ini. Kini, kerajaan turut menekankan kepada penggunaan teknologi hijau dengan meminimakan degradasi alam sekitar disamping memelihara alam sekitar yang mampan untuk kepentingan semua pihak.

Saripuddin (tiga kiri) bersama tetamu kehormat dan peserta Persidangan Ekonomi Antarabangsa.

Disamping pembangunan mampan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi turut memberi fokus kepada pembangunan berdasarkan sumber baharu seperti ekonomi digital dan pembinaan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence).

Mohd Shafie berkata, tema persidangan iaitu ‘Pembangunan Mampan Global Melalui Dasar, Inovasi dan Intergrasi’ itu seiring dengan langkah Malaysia berdepan dengan cabaran dalam negara dan global. Tema ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan negara dan ekonomi disamping memelihara alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.

Katanya, beliau percaya penganjuran persidangan itu antara langkah awal untuk mencapai pembangunan mampan di peringkat global.

BerneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *