(VIDEO) ‘Flying Fox’ Bersama Motosikal Ke Seberang Sungai

Petikan rakaman video menunjukkan dua wanita menyeberangi sungai bersama motosikal menggunakan ‘flying fox’. Foto Agensi

JAKARTA: Rakaman video menunjukkan dua wanita menyeberang sungai bersama motosikal menggunakan tali seperti aktiviti lasak ‘flying fox’ berikutan ketiadaan jambatan, menjadi tular di media sosial Indonesia serta berita utama negara itu sejak beberapa hari lalu.

Dalam video itu, dua remaja perempuan duduk di atas motosikal sebelum meluncur ke seberang sungai dengan seorang budak lelaki mengawal tali di belakang.

Kedua-dua remaja itu kelihatan gementar sebelum penunggang di hadapan mengucapkan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ sebelum motosikal mereka bergerak ke arah sungai dan ‘terbang’ menyeberanginya.

Menurut laporan Kompas, tidak dapat dipastikan lokasi kejadian namun nombor plat motosikal itu ialah BM 27xx XXB. BM untuk wilayah Kota Pekanbaru, Riau.

Selain itu, percakapan dalam video berkenaan menggunakan logat masyarakat Sumatera.

Menurut Kompas, Ketua Perhubungan Masyarakat Riau, M Firdhaus berkata, pihaknya sudah membuat siasatan namun tidak mengetahui lokasi kejadian itu.

Menurutnya, semua kawasan di Pekanbaru sudah mempunyai jambatan dan beliau meminta mereka yang mengetahui lokasi dalam video itu agar pihaknya boleh mengambil tindakan sewajarnya.

Netizen turut menyertakan akaun media sosial Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Awam (PUPR) dalam komen meminta dibina jambatan bagi penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut Kompas, kementerian itu juga meminta orang ramai memberi maklumat lengkap agar tindakan segera boleh diambil demi kemudahan rakyat.

Di Twitter, video itu sudah ditonton lebih dua juta kali dengan 23,561 kicau semula.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *