Kerajaan Serah Urusan Pentadbiran Sipadan Dan Ligitan Kepada Sabah – PM Mahathir

Pulau Sipadan – Foto Google

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah kecuali perkara berkaitan dengan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata penyerahan itu adalah satu hasil perundingan Jawatankuasa Khas Kabinet Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) dan ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan PH memenuhi perjanjian itu.

Pulau Sipadan (gambar atas) dan Pulau Ligitan (gambar bawah) – Foto Google

“Harus kita ingat, kedua-dua buah pulau ini juga dituntut oleh negara lain. Tetapi apabila Kerajaan Persekutuan membawanya ke mahkamah dunia, maka mahkamah putuskan kedua-duanya milik Malaysia… dengan itu kita dapat memberi Sabah kuasa ke atas kedua-dua pulau tersebut.

“Dengan itu kita dapat memberi Sabah kuasa ke atas kedua-dua pulau itu,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di Kuching, malam ini.

Perdana Menteri berharap rakyat dan pemimpin dari Sabah dan Sarawak dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan kerajaan Persekutuan untuk meletakkan kedua-dua negeri ini sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Tanah Melayu seperti yang termeterai ketika Malaysia dibentuk bersama.

Pada 19 Ogos lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa setakat 23 Julai lepas, tujuh isu Perjanjian Malaysia 1963 telah mendapat persetujuan bersama manakala 14 isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangka akan diputuskan sebelum 31 Ogos.

Keputusan-keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut pada 23 Julai dan dihadiri 23 ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah. 

Antara tujuh isu yang telah mendapat persetujuan adalah mengenai pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan, yang menyebut: “Secara prinsipnya penyerahan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan khususnya berkaitan pelancongan kepada Kerajaan Negeri Sabah telah dipersetujui. Isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi.” 

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *