Dadah: 14 Individu Ditahan

Polis menahan beberapa individu dalam operasi pembanterasan penyalahgunaan dadah di Tuaran. -Gambar SNT / Ihsan Polis

TUARAN: Seramai 14 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah dalam beberapa siri operasi di sekitar daerah ini, bermula 2 September lalu dan berakhir kelmarin.

Operasi dilakukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di beberapa lokasi iaitu Taman Telipok Ria, Sri Rugading, Tamparuli dan Kampung Mengkabong.

Lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Tuaran. -Gambar SNT / Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata dalam operasi selama dua minggu itu, lima individu ditahan kerana memiliki dadah manakala sembilan individu lain ditahan kerana didapati positif dadah.

“Daripada jumlah itu, 11 individu warga tempatan manakala selebihnya warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Hamizi berkata, dalam tempoh operasi itu juga, polis turut merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.22 gram bernilai RM180.

“IPD Tuaran mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dan adalah dialu-alukan terus memberi maklumat berkaitan jenayah dadah.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman di kawasan Tuaran,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *