Beg Berkembung Bongkar Kegiatan Wanita Mencuri 44 Pakaian

Suspek ditahan selepas disyaki mencuri pakaian di empat premis pusat beli-belah di Jalan Fuad Stephens, Kota Kinabalu. -Gambar SNT / ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Tingka laku seorang wanita yang keluar dengan membawa beg berisi di beberapa premis di pusat beli-belah terkemuka di Jalan Tun Fuad Stephens, di sini membongkar kegiatan suspek mencuri 44 pakaian bernilai RM1,618.

Wanita berusia 29 tahun yang beralamat di Semporna, ditahan pengawal keselamatan di pusat beli-belah berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis, jam 5.31 petang kelmarin.

Tiga beg plastik berisi pakaian yang dicuri oleh suspek di empat premis pusat beli-belah Jalan Fuad Stephens, Kota Kinabalu.- Gambar SNT / Ihsan pembaca

Ketika kejadian, pekerja di salah sebuah premis menjual baju berjenama curiga apabila suspek yang sebelum ini masuk hanya membawa beg plastik tanpa isi.

Bagaimanapun ketika suspek keluar dari premis berkenaan, beg plastik itu berisi dengan pakaian menyebabkan wanita itu ditahan kerana disyaki mencuri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Geogre Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengawal keselamatan yang menahan seorang wanita kerana disyaki mencuri pakaian di salah satu premis di pusat beli-belah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu juga turut melakukan kegiatan di tiga premis berlainan yang menjual pakai di pusat beli-belah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 16 baju dan 28 seluar yang dicuri dari empat premis berlainan dengan nilai rampasan berjumlah RM1,618,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Geogre berkata, motif suspek mencuri pelbagai jenis pakaian itu adalah untuk dijual semula kepada pembeli di kawasan kediaman suspek di kawasan Sepanggar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Jika sabit kesalahan memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *