Enam Nelayan Vietnam Ditahan Kaut Gamat Dekat Pulau Jambongan

Foto BERNAMA

SANDAKAN, 14 Sept: Enam nelayan Vietnam termasuk tekong ditahan kerana mengaut hasil laut secara haram di perairan negara dekat Pulau Jambongan, Beluran.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata APMM menahan nelayan terbabit dan merampas bot nelayan dinaiki mereka,23.4 batu nautika timur laut Tanjung Ayam, Pulau Jambongan pada Khamis  lepas kira-kira 5.22 petang.

“Bot bersama nelayan Vietnam berumur 14 hingga 46 tahun berjaya ditahan selepas dikejar selama 45 minit dalam keadaan angin kencang dan laut bergelora.

Bot disyaki menceroboh perairan Malaysia tanpa kebenaran untuk melakukan aktiviti menangguk gamat secara haram,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di sini hari ini.

Mohd Khairulanuar berkata siasatan ke atas bot menemui anggaran 600 kg gamat, namun penemuan lebih menyedihkan ialah penemuan peralatan besi berbentuk pencakar yang diharamkan penggunaannya di Malaysia kerana merosakkan ekosistem dan hidupan marin.

“Kita khuatiri penggunaan alat seperti ini akan merosakkan rantaian dasar laut dan hasil laut negara, sekali gus memberi kesan negatif kepada ekonomi negara, khususnya nelayan tempatan,” katanya.

Mohd Khairulanuar berkata nelayan itu ditahan manakala bot dan peralatan menangguk gamat serta hasil tangkapan gamat dianggarkan berjumlah RM650,000 dirampas.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM6 juta terhadap tekong dan RM600,000 terhadap awak-awak, jika sabit kesalahan.

Mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan, yang membawa denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Ditanya mengenai nelayan Vietnam yang semakin berani menceroboh perairan negara di bahagian pantai timur Sabah, Mohd Khairulanuar percaya nelayan dari negara berkenaan mengambil risiko belayar jauh bagi mengelak Operasi Naga iaitu operasi khas yang dilancarkan bagi menangani pencerobohan bot nelayan Vietnam di perairan negara di Semenanjung.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *