Nelayan Hilang Di Perairan Pulau Burung Masih Dalam Pencarian

LAHAD DATU: Seorang nelayan warganegara asing yang dilaporkan hilang di laut sejak dua hari lepas masih dalam pencarian di perairan Pulau Burung, Lahad Datu.

Mengimbas kembali laporan awal kehilangan Ebno bin Salim, 48 tahun disyaki hilang di laut dilaporkan telah keluar ke laut bersendirian untuk memancing ikan pada jam 2.00 petang 11 September lalu menaiki sebuah bot persendirian.

Bot yang dinaiki mangsa telah ditemui namun mangsa masih hilang.

MRSC Kota Kinabalu telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak kelmarin dengan menggerakkan bot HALILINTAR 5.

Turut membantu ialah aset daripada agensi kerajaan yang lain seperti Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Tentera Laut DiRaja Malaysia dan bot nelayan tempatan.

Operasi mencari dan menyelamat ini di ketuai Pegawai Seksyen Operasi Zon Maritim Lahad Datu, Lt Madya (M) Wan Syarafuddin Jafni bin Wan Badarudin, manakala sektor pencarian merangkumi 60.4 batu nautika persegi sekitar Perairan Pulau Burung.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap sebarang kecemasan di laut dan sentiasa mengambil langkah dan inisiatif yang terbaik dalam usaha mengurangkan kadar kehilangan nyawa di laut.

Orang ramai terutamanya komuniti maritim adalah dinasihatkan supaya sering mengambil langkah persediaan awal ke laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di laut memandangkan cuaca pada masa kini yang tidak menentu.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini ramalan cuaca melalui MCG Info yang boleh didapati melalui aplikasi ‘playstore’ dan ‘appstore’ di telefon bimbit.

Di samping itu Maritim Malaysia mengalu-alukan komuniti Maritim dan juga orang ramai dapat menyalurkan sebarang maklumat mengenai sebarang kemalangan dilaut dengan segera di talian 089-885727 Bilik Operasi Zon Maritim Lahad Datu.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *