RM17,666,600 Waran Pembayaran Elaun MPKK Dikeluarkan

Ewon (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet KPLB Sabah. – Gambar Ihsan Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) Sabah telah mengeluarkan waran pembayaran sebanyak RM17,666,000 untuk elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini sejak April lalu.
 
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, waran pembayaran itu disalurkan kepada 22 pejabat daerah, lapan pejabat daerah kecil serta Majlis Perbandaran Sandakan, Majlis Perbandaran Tawau dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
 
Beliau berkata, waran pembayaran elaun ini disalurkan kepada pejabat-pejabat di daerah tersebut selepas kementeriannya menerima peruntukan pembayaran elaun MPKK bagi enam bulan pertama daripada kerajaan Persekutuan pada Mac 2019.
 
“KPLB Sabah kini sedang menunggu penurunan peruntukan pembayaran elaun MPKK bagi enam bulan kedua daripada kerajaan Persekutuan.
 
“Saya difahamkan pejabat-pejabat di daerah kini sedang memproses pembayaran elaun bulanan MPKK termasuk tunggakan elaun yang belum sempat dibayar sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan pasca Kabinet KPLB Sabah di Bilik Mesyuarat KPLB Sabah di sini hari ini.
 
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas MPKK, beliau akan memastikan penambahbaikan sistem pembayaran elaun dapat ditingkatkan agar tidak berlaku tunggakan pembayaran pada masa akan datang.
 
“KPLB Sabah dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) Sabah kini sedang membangunkan aplikasi baru, sistem pembayaran elaun terus kepada MPKK secara e-banking supaya tidak perlu lagi diproses melalui kaedah manual sistem baucer di pejabat daerah. Saya berharap sistem ini dapat digunakan bermula pada 2020. 
 
“Saya menghargai segala keprihatinan rakyat terhadap isu ini dan saya berkongsi aspirasi bahawa sistem perlantikan dan pembayaran elaun sememangnya memerlukan penambahbaikan,” katanya.
 
Mengenai isu pelantikan MPKK, Ewon berkata setakat 10 September  ini KPLB Sabah mengeluarkan watikah perlantikan MPKK kepada 2,388 buah kampung iaitu 83.7 peratus daripada keseluruhan kouta MPKK di seluruh Sabah.
 
Katanya watikah perlantikan itu dikeluarkan seawal Januari tahun ini.
 
“Proses perlantikan ini mengambil masa kerana jumlah keanggotaan MPKK adalah sebanyak 13 orang berbanding enam anggota JKKK (sebelum dijenamakan menjadi MPKK) sebelum ini.

“Selain itu proses tapisan berasaskan kesemua syarat perlantikan juga perlu dibuat kepada kesemua 13 anggota yang dikemukakan kepada pejabat daerah, dan seterusnya KPLB Sabah. Watikah perlantikan yang dikeluarkan merangkumi kesemua 13 anggota bukan Pengerusi dan Setiausaha sahaja,” katanya.
 
Ewon berkata antara sebab kelewatan pelantikan MPKK ialah berlaku banyak kes apabila ada anggota yang dicadangkan melebihi had umur yang ditetapkan pada 68 tahun dan ada juga kes terdapat anggota yang dicadangkan belum mencapai had umur minimum yang ditetapkan iaitu 21 tahun.
 
“Ada juga kes borang yang dihantar tidak lengkap misalnya tiada salinan kad pengenalan. Dalam kes sebegini, borang pelantikan terpaksa dikembalikan semula untuk diisi sehingga syarat-syarat tersebut dipatuhi,” katanya.
 
Beliau berkata di peringkat dasar, kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas perlantikan MPKK dan Ketua-Ketua Adat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah untuk menyelaras perlantikan, termasuk mengambilkira syor-syor yang dikemukakan oleh pelbagai pihak.
 
“Tidak dinafikan ada beberapa daerah yang telah mengambil masa yang agak lama untuk memuktamadkan syor-syor yang dikemukakan.
 
“Selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, saya mengambil maklum dan tindakan dari masa ke semasa berhubung isu-isu berkaitan perlantikan MPKK dan pembayaran elaun kepada MPKK. Ini merupakan agenda tetap saya setiap kali mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di kementerian saya,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *