Macam Orang Bersalin…

Doktor berjaya mengeluarkan ketumbuhan seberat 5.42 kilogram dengan 35 sentimeter panjang dan 32 sentimeter lebar. Foto Agensi

BANGKOK: Seorang lelaki yang sering sakit perut terkejut selepas doktor mengeluarkan ketumbuhan besar seberat hampir 6 kilogram di dalam perutnya.

Lelaki berusia 52 tahun dan berperut buncit itu datang ke sebuah hospital di wilayah Bueng Kan pada pagi Sabtu lalu kerana sakit perut yang teruk.

Imbasan CT menemui satu ketumbuhan besar di dalam perutnya dan doktor terus melakukan pembedahan kecemasan terhadap lelaki itu kerana bimbang ia boleh menjejaskan organ lain.

Selepas menjalani pembedahan selama 90 minit, doktor berjaya mengeluarkan ketumbuhan seberat 5.42 kilogram dengan 35 sentimeter panjang dan 32 sentimeter lebar.

Pakar bedah, Dr Nut Thongbuasirilai berkata, dia sangat berpuas hati dengan pembedahan itu yang berjalan dengan lancar.

“Ketumbuhan itu bersambung dengan hati, usus kecil dan perut menyebabkan kami perlu sangat berhati-hati ketika memotongnya,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *