(VIDEO) Anak Lembu Berwajah Manusia


Anak lembu berwajah seakan-akan manusia ditemui di Argentina. FOTO Agensi

BUENOS AIRES: Seekor anak lembu mutan yang mempunyai wajah seakan-akan manusia menjadi perhatian di media sosial hingga videonya ditonton sebanyak 274,000 kali selepas dimuat naik di YouTube.

Daily Mail melaporkan, haiwan pelik yang mempunyai saiz hidung dan mulut kecil itu dilahirkan di kampung Villa Anna, utara wilayah Santa Fe, Argentina.

Video itu dipercayai dirakam oleh seorang petani tidak dikenali yang terkejut melihat rupa haiwan terbabit ketika ditemui terbaring di atas rumput dan enggan bergerak.

Bagaimanapun, ia dilaporkan hanya sempat hidup selama beberapa jam sebelum mati.

Menurut pakar, anak lembu itu dilahirkan dengan kecacatan pada bahagian tengkorak sekali gus menyebabkan dia mempunyai wajah pelik yang menakutkan.

Pakar genetik, Nicolas Magnago memberitahu media tempatan, keadaan yang dialami itu kemungkinan adalah mutasi genetik yang jarang berlaku.

Katanya, mutasi berlaku disebabkan perubahan pada DNA yang kemudian dipindahkan kepada anak lembu terbabit.

“Mutasi berpunca daripada perubahan DNA. Ia berlaku secara spontan yang disebabkan oleh mutagen yang mengubah turutan genetik,” katanya. – Agensi

https://www.youtube.com/watch?v=JdwYE-bTYsg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *