Siasatan Kes Jabatan Air Negeri Sabah Masih Berjalan, Banyak Aduan Bermotif Politik – SPRM

Latheefa bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Menteri. – Foto Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan dakwaan rasuah ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak pernah dihentikan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Beebi Koya berkata, siasatan terhadap mana-mana kes tidak akan ditutup hanya kerana seseorang itu telah berkuasa dalam kerajaan.

Bagaimanapun katanya, SPRM turut melakukan penilaian terhadap setiap siasatan yang dibuat kerana semasa zaman BN, agensi itu selalu dijadikan alat politik oleh pihak tertentu apabila banyak aduan dibuat hanya untuk mengenakan musuh politik.

“Tiada yang dihentikan hanya kerana seseorang telah berkuasa, kami tidak akan berhenti secara automatik, kami cuma berhenti jika kes itu tidak lebih daripada sekadar aduan, perlu difahami sebagai contoh ada laporan dibuat kerana bermotif politik.

“Sejak sekian lama SPRM telah digunakan sebagai alat politik, laporan dibuat untuk menyerang orang lain. Kami bekerja keras untuk menjadi profesional, kami tidak mahu digunakan sebagai medan untuk orang membuat laporan terhadap sesama sendiri,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah.

Latheefa berkata demikian ketika ditanya wartawan tentang gesaan pembangkang Sabah supaya SPRM tidak menutup siasatan yang dijalankan ke atas pemimpin kerajaan.

Pada penghujung tahun 2017, Shafie ditahan SPRM atas siasatan berkaitan projek pembinaan loji rawatan air di Semporna yang didakwa oleh pemimpin UMNO wujud unsur rasuah.

Bagaimanapun, pada 28 Ogos tahun lalu, persidangan Dewan Negara dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan mendapati tiada bukti yang cukup untuk tindakan selanjutnya terhadap Shafie berhubung kes penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah.

Latheefa berkata, jika pembangkang berasa ada aduan yang tidak disiasat, mereka perlu menilai kembali aduan tersebut jika sahih atau sekadar aduan.

“Kami mendesak berhenti jadikan SPRM sebagai alat politik, kalau ada aduan tidak kira anda siapa datang kepada kami dan berikan maklumat, kami akan melihatnya,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *