Telupid Memerlukan Sebuah Balai Bomba – Ronald Kiandee

Datuk Seri Ronald Kiandee

BELURAN, 10 Sept: Kerajaan diharap dapat menyegerakan pembinaan sebuah balai bomba di Telupid memandangkan ia merupakan daerah pesat  membangun dengan pelbagai aktiviti ekonomi dan memerlukan perkhidmatan sebuah balai bomba.

Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sebuah tapak untuk pembinaan balai bomba di Telupid telahpun dikenalpasti oleh Pejabat Daerah Beluran.

“Saya nampak pembinaan balai bomba di Telupid adalah antara tujuh balai bomba baharu yang akan dibina di Sabah mulai tahun depan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tetapi kita minta ia disenarai utamakan.

“Kita berharap kerajaan melihat keperluan yang mendesak  untuk mewujudkan sebuah balai bomba di Telupid agar masalah kebakaran di kawasan ini  dapat ditangani pada  masa depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Ehsan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada mangsa kebakaran Kampung Keramat di sini hari ini.

Mengenai mangsa yang terjejas dalam kebakaran itu pada awal pagi 28 Mac lepas, beliau  berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri agar mangsa berkenaan diberi keutamaan untuk mendapatkan bantuan perumahan melalui pelbagai program perumahan kerajaan seperti Program Perumahan Rakyat dan Program Perumahan Rakyat Termiskin.

Sebanyak 23 rumah musnah dalam kejadian kebakaran itu dan menjejaskan 89 mangsa.

Sementara itu dalam satu kenyataan Kiandee yang  juga Setiausaha Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan kerajaan  pada bulan depan akan terus membela nasib penduduk luar bandar.

Katanya, peruntukan yang berterusan untuk luar bandar akan membolehkan lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan oleh kerajaan seperti pembinaan kemudahan jalanraya, bekalan air dan elektrik yang akan membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat

Selain itu, kemudahan infrastruktur seperti sekolah dan klinik kesihatan yang sedia ada perlu dinaiktaraf oleh pihak kerajaan, katanya.

“Dengan adanya peruntukan berterusan melalui bajet tahunan kerajaan akan dapat memastikan penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan asas yang diperlukan”, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *