Gerakan Buru Buaya Ganas Sungai Kalabakan Dilancarkan

 JHL Tawau menjalankan operasi bersepadu bersama agensi dan pihak berkuasa lain dalam usaha menangkap buaya ganas yang menyerang mangsa.

KALABAKAN: Gerakan memburu buaya ganas yang disyaki menyerang seorang wanita sehingga maut di Sungai Kalabakan di sini pada Sabtu lepas, dilancarkan hari ini.

Pegawai Hidupan Liar Tawau Sailun Aris berkata, usaha terbabit dimulakan pada jam 10.30 pagi menerusi pemasangan sebuah perangkap yang berumpankan seekor ayam.

Gerakan memburu buaya ganas kini dilancarkan di Sungai Kalabakan.

“Kita juga melibatkan penyertaan polis yang mempunyai senjata api,” katanya, semasa dihubungi Utusan Borneo di sini, berhubung perkembangan usaha mereka.

Usaha memburu reptilia itu digerakkan menerusi operasi bersepadu Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau (tujuh kakitangan), Balai Polis Kalabakan (lima termasuk Ketua Balai).

Turut terlibat dalam operasi mengesan buaya terbabit, Bomba dan Penyelamat Tawau (18 orang), Balai Polis Daerah Kalabakan (lima) dan Pejabat Daerah Kalabakan (dua).

Mengulas lanjut, Sailun mengingatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berhampiran, khususnya penduduk Kg Sg Tuda supaya berwaspada semasa pergi ke sungai.

“Kita khuatir kerana sungai itu juga menjadi habitat buaya ganas, justeru hati-hati ketika melakukan rutin harian seperti mandi, membasuh pakaian dan menangkap ikan,” katanya.

Sabtu lepas, seorang wanita, Nur Fatimah Saleh, 33, ditemui maut disyaki akibat diserang dan dibaham buaya semasa membasuh pakaian di tepi sungai kira-kira jam 10.30 pagi.

Mayat wanita terbabit ditemui terapung di tebing sungai yang sama kira-kira jam 3.25 petang dalam lingkungan 500 meter dari lokasi insiden terbabit dilaporkan berlaku.

Menurut maklumat awal berdasarkan kenyataan saksi kejadian yang juga rakan mangsa, mereka membasuh pakaian di tepi sungai sebelum dikejutkan dengan kehadiran buaya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *