Penagih Sanggup Bersembunyi Dalam Lumpur Elak Ditahan

Beberapa individu disyaki penagih yang cuba bersembunyi dibawah kolong rumah di Sembulan, Kota Kinabalu, diberkas polis. Gambar SNT/Ihsan Polis

BERSEMBUNYI DALAM LUMPUR DAN SEMAK ELAK DITAHAN

KOTA KINABALU: Bersembunyi dibawah kolong yang berlumpur dan semak. Itulah antara gelagat lelaki disyaki penagih yang cuba melarikan diri daripada polis dalam Op Sarang selama seminggu yang berakhir semalam.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila berjaya ditahan polis daripada pegawai dan anggota Bahagia Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang sudah mengepung kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Operasi itu membabitkan 20 serbuan berasingan di empat kawasan iaitu Kampung Sembulan, Kampung Likas, Pekan Inanam dan sekitar kawasan Api-Api.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi ini bertujuan mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran serta masalah penagihan dadah di daerah Kota Kinabalu.

Lelaki yang disyaki penagih yang cuba bersembunyi dalam semak ditahan polis dalam Op Sarang di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

“Seramai 65 individu ditahan dan tiga yang ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 15 individu disiasat mengikut Seksyen 12(2) manakala 47 lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(A) akta yang sama.

“Semua yang ditahan membabitkan 42 lelaki warga tempatan dan selebihnya warga asing berusia 10 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Habibi berkata, polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 17.84 gram yang dianggarkan bernilai RM892 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Operasi ini dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat awam di kawasan sarang penagihan dan pengedaran dadah yang dikenalpasti di sekitar kawasan berkenaan.

“Usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah dilokasi dikenal pasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehubungan itu, habibi berkata, orang ramai diminta membantu menyalurkan maklumat jenayah dadah menerusi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220 atau WhatsApp ke talian 019-2182729. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *