Dua Wanita Selamat Kereta Masuk Gaung Di Jalan Kionsom

Keadaan kereta Perodua Viva yang terjunam dalam gaung setinggi hampir lima meter di Jalan Kionsom, Inanam, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Bomba

UMUR PANJANG KERETA MASUK GAUNG

KOTA KINABALU: Dua wanita terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam gaung setinggi hampir lima meter di Jalan Kionsom, Kampung Kolosunan, Inanam, hari ini.

Kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa Winnie Stephen, 40, dan rakannya Noorziean Mohd Tairudin, 38, hanya cedera ringan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 pagi dan mengerahkan tujuh anggota dan pegawai serta sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa berada diluar kereta jenis Perodua Viva dan kemudiannya diberikan rawatan awal.

“Pasukan bomba kemudian menghantar mangsa ke Hospital Likas menaiki jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, pasukan Bomba seterusnya membuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.

“Kedua-dua mangsa wanita dilaporkan stabil dan hanya mengalami cedera ringan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.10 pagi,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *