PSS: Langkah Permulaan Bersihkan Daftar Pemilih Di Sabah – Ahli Parlimen Kota Kinabalu

Chan Foong Hin

KOTA KINABALU, 7 Sept: Inisiatif kerajaan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci, dan Kad Burung-Burung, adalah langkah permulaan yang secara tidak langsung membantu membersihkan daftar pemilih di negeri ini, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Beliau berkata ia juga adalah satu langkah bijak diambil kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dalam usaha memastikan isu lambakan warga asing di negeri ini, diuruskan secara sistematik sekali gus pendekatan proaktif mengenal pasti status warga asing sah ataupun tidak.

“Ini adalah langkah bijak dan titik permulaan untuk kita melihat isu ini, memandangkan sistem pendaftaran pemilih akan dilakukan secara automatik. Amatlah penting sekarang untuk membersihkan daftar pemilih, macam mana nak membersihkan daftar pemilih, ia perlu bermula bagaimana menyusun atur PTI (pendatang tanpa izin) dengan betul bagi mengetahui jumlah (PTI) yang tepat.

“Inisiatif PSS ini bagus. Kita kena lihat semula, siapa PTI siapa bukan, siapa buruh asing sah dan tidak sah. Selepas itu, baru dapat ditentukan langkah seterusnya, sama ada menghantar pulang (PTI) atau bagaimana mereka boleh sah bekerja di sini tanpa mengkompromi hak rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Merdeka @ Komuniti Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan dicapai antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah untuk mengeluarkan PSS mulai 1 Jun 2020.

PSS dikeluarkan bagi meningkatkan penguatkuasaan sekali gus memastikan rekod warga asing di Sabah berpusat serta diseragamkan dan ia hanya sah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui pada harga RM120.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Haris Alimudin dalam kenyataan berkata keputusan mengeluarkan PSS juga akan dapat membantu kerajaan menamatkan masalah pemalsuan dokumen yang membelenggu Sabah sejak sekian lama.

Haris berkata Amanah Sabah berharap pemberian PSS dipantau rapi bagi memastikan hanya warga asing sudah lama berada di Sabah sahaja layak memperolehi pas itu selain setiap pemegang PSS perlu diberikan syarat ketat, termasuk membatalkan kelayakannya jika tidak mematuhi undang-undang negara.

“Pemberian PSS adalah pilihan terbaik menyelesaikan masalah ‘tanpa negara’ yang selama ini tidak dapat didokumentasikan kehadiran mereka.

“Kepentingan dan hak rakyat Sabah perlu diutamakan dan PSS mesti dilihat sebagai penyelesaian sementara, dan kerajaan hendaklah memperkenalkan polisi yang mampu menamatkan masalah PTI yang menjadi masalah utama di Sabah,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *