Pendaki Cedera Ketika Menuruni Gunung Kinabalu Diselamatkan

Pasukan Mencari Dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR), mengusung mangsa seorang pendaki wanita warga Belgium, yang cedera selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Kinabalu di kilometer 6.7, di Kundasang, Ranau. – Foto ihsan Bomba

RANAU: Seorang pendaki wanita yang cedera selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Kinabalu di kilometer 6.7, di sini, diselamatkan Pasukan Mencari Dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR), semalam.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi itu, pendaki warga Belgium yang dikenali sebagai Vanden Broere Elien, 30, cedera di paha kiri sebelum dihantar ke hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.

Seorang pendaki wanita warga Belgium, yang cedera selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Kinabalu di kilometer 6.7, diselamatkan Pasukan Mencari Dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR), di Kundasang, Ranau. – Foto ihsan Bomba

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10 pagi dan mengerahkan seramai 11 anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) MOSAR ke lokasi kejadian.

Katanya, lapan anggota PBB MOSAR yang diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di Balai Mosar, Laban Rata dikerah memberi bantuan awal di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan MOSAR menemui mangsa terbaring namun berada dalam keadaan stabil.”

“Mangsa memaklumkan tidak mampu untuk bergerak dan terus diberikan rawatan awal di lokasi,” katanya dihubungi, hari ini.

Ridwan berkata, pasukan MOSAR kemudiannya mengangkat mangsa menggunakan usungan sehingga Timpohon Gate sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan utiliti EMRS untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan jam 2.45 petang kemudian,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *