Pejabat Saya Sentiasa Terbuka Untuk Rakyat – Peter Anthony

KEMABONG: Sokongan padu rakyat Tenom termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dan Kemabong terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak pernah dilupakan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, pejabatnya sentiasa terbuka kepada masyarakat di situ untuk menyampaikan masalah mereka bagi diselesaikan kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, kerajaan sentiasa mendengar rintihan rakyat dan bersedia berkhidmat demi pembangunan masyarakat di kawasan pedalaman itu.

“Terima kasih kepada semua pengundi-pengundi Parti Warisan Sabah (Warisan) di Tenom dalam pilihan raya umum lalu, sesungguhnya pengorbanan, kejujuran, keikhlasan saudara-saudara tidak akan saya lupakan, akan saya terjemahkan jasa-jasa itu untuk membantu, datanglah ke pejabat saya bila-bila masa.

Peter: Pejabat Saya Sentiasa Terbuka Untuk Rakyat.

Peter berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab membangunkan infrastruktur Sabah, beliau berjanji jambatan Tenom dan jalan-jalan yang rosak teruk termasuk di Daerah Kecil Kemabong akan diperbaiki bermula tahun depan.

“Pejabat saya sentiasa terbuka dari pagi sehingga petang bolehlah datang, ketua-ketua cawangan, ketua kampung saudara yang mempunyai masalah, kemusyikilan pertanyaan atau sebagainya datanglah berjumpa saya mana-mana yang dapat saya selesaikan saya selesaikan, mana yang berat akan saya minta Ketua Menteri untuk selesaikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Sempena Ilau 2019 di Dataran Terbuka Pekan Kecil Kemabong hari ini.

Sementara itu, ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar berkata, pengumuman pembinaan rumah kedai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan menjadi pencetus kepada perkembangan ekonomi di Kemabong yang selama ini terpinggir.

Katanya, sejak Warisan memerintah, banyak program kerajaan telah dilaksanakan di situ termasuk projek pembinaan Dewan Terbuka Kemabong yang menjadi lokasi majlis berkenaan hari ini.

“Saya amat bersyukur kerana pagi ini dapat kita berjumpa di Dataran Kemabong, ia adalah satu manifestasi yang terbaik bagi saya kerana inilah mercu tanda pertama kerajaan baharu di Kemabong, dewan terbuka ini siap dibina pada bulan November tahun lalu, terima kasih kepada Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat, pelbagai lagi projek memajukan Kemabong akan dirancang termasuklah pembangunan sektor pelancongan di daerah kecil itu.

Katanya, ini termasuklah kawasan Tanah Tinggi Rundum yang mempunyai cuaca sejuk dan sentiasa mendapat tumpuan pengunjung dari luar.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *