Tikan Mati Jiran Angkara Dapur Masak

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) pada sidang media melibatkan dua kejadian jenayah di IPD Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 87 tahun menikam jirannya hingga mati selepas berlaku perselisihan faham penggunaan dapur memasak di rumah sewa mereka di Kampung Cempaka Baru, Jalan Haiwan, Likas, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa berasal dari Semenanjung yang parah dibahagian dada dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) tetapi meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Pasukan paramedik menjalankan rawatan kecemasan awal terhadap mangsa sebelum membawa mangsa ke hospital. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Difahamkan, mangsa baru tiga bulan menyewa bilik di rumah itu bersama isterinya manakala suspek warga Filipina tinggal di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati ketika kejadian berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan anak suspek kerana mangsa dikatakan menggunakan peralatan dapur memasak milik suspek.

“Selepas itu, suspek campur tangan lalu berlaku pergaduhan sebelum suspek mengambil sebilah parang panjang dan terus menikam mangsa.

“Mangsa yang parah dibahagian dada kemudian dikejarkan ke HQE I untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.30 petang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Superintendan George Ab Rakman dan Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Arif Abd Razak.

Habibi berkata, pihaknya yang menerima maklumat berkenaan kejadian itu kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian jam 2 petang, polis menahan suspek dan dua lagi individu iaitu anak dan isteri suspek.

“Polis turut merampas sebilah parang berukuran 69 sentimeter yang dipercayai digunakan ketika kejadian itu,” katanya.

Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dan keluarga suspek sering bertengkar kerana dikatakan mangsa sering menggunakan peralatan dapur memasak seperti dapur gas, kuali dan pinggan milik suspek.

“Suspek warga Filipina bersama anak dan isteri berusia 29 dan 57 tahun direman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *