Salleh & Pandikar Masuk PKR Hanya Khabar Angin

KOTA KINABALU: Tiada perbincangan atau pertemuan di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah dengan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung spekulasi mereka akan menyertai PKR.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Mustapha Sakmud, berkata spekulasi yang mengaitkan dua bekas pemimpin UMNO berasal dari Kota Belud itu hanyalah khabar angin semata-mata.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Mustapha Sakmud.

“Bagi saya ia hanyalah khabar angin kerana saya sendiri sebagai Ketua Cabang PKR Kota Belud tidak mempunyai apa-apa maklumat berkaitan perkara itu, malah tidak pernah berjumpa, apatah lagi berbincang dengan mereka sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi yang mengatakan Salleh dan Pandikar Amin dijangka menyertai PKR selepas sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

Bagaimanapun, Mustapha mengesahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri majlis anjuran Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) yang diterajui Salleh dan Pandikar, seperti disebut dalam spekulasi itu.

Mustapha yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud, berkata Anwar dijadual menghadiri program USBO pada 17 September ini, namun menafikan ia ada kaitan dengan politik.

“Ia adalah program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dan kita sudah dimaklumkan Anwar akan hadir pada majlis itu,” katanya.

Menerusi laporan sebuah portal hari ini, difahamkan Salleh dan Pandikar adalah antara pemimpin masyarakat Bajau yang dijangka menyerahkan borang permohonan menyertai PKR kepada Anwar selepas sambutan Hari Malaysia ini.

Bagaimanapun, Salleh dalam laporan itu menafikan perkara berkenaan, namun mengiyakan yang Anwar dijemput untuk menghadiri program USBO atau sebelum ini dikenali sebagai Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu, yang mana Salleh adalah Penasihatnya, manakala Pandikar sebagai Presiden.

Salleh yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pandikar (bekas Ketua Penerangan UMNO Sabah) adalah antara pemimpin UMNO negeri yang meninggalkan parti itu bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian di Sabah pada 12 Disember tahun lalu.

Setakat ini, Salleh belum menyertai mana-mana parti politik baharu, manakala Pandikar dilaporkan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), sebuah parti tempatan yang dihidupkan semula pada Mei lalu dan dilantik sebagai penasihat strategik parti itu.

Bagaimanapun, Pandikar dikatakan meletakkan jawatan itu pada bulan lalu.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *