PSS Bukti Kerajaan Serius Atasi Masalah PTI Di Sabah – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 6 Sept: Pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) mulai 1 Jun 2020 adalah bukti keseriusan kerajaan pada hari ini untuk mengatasi masalah lambakan pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata meskipun isu PTI di Sabah begitu kompleks dan memerlukan ia diselesaikan secara berperingkat, namun, usaha memperkenal PSS kepada tiga kategori pemilik dokumen iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci adalah langkah permulaan mengatasi masalah itu yang sering menjadi kebimbangan rakyat tempatan.

Mohd Shafie berkata langkah mengeluarkan PSS itu juga adalah rentetan daripada perkara diperhalusi di peringkat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PTI di Sabah sebelum ini berhubung kepelbagaian dokumen dikeluarkan pihak berwajib kepada warga asing.

“Maka, dengan adanya penyelarasan (dokumen untuk warga asing) seumpama ini, kita mahu pastikan supaya ia dapat diurus dan dikawal oleh (hanya) Jabatan Imigresen Sabah.

“Kerajaan melihat perkara ini amat serius yang perlu diatasi untuk memastikan supaya jangan ada anasir jahat tanpa sah kedatangan mereka di negara kita,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di sini, hari ini.

Mesyuarat jawatankuasa induk yang dipengerusikan secara bersama oleh Mohd Shafie dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan.

Mesyuarat itu antara lain bersetuju mengeluarkan PSS bagi meningkatkan penguatkuasaan sekali gus memastikan rekod warga asing di Sabah berpusat dan diseragamkan.

PSS dikeluarkan kepada warga asing yang memiliki antara tiga dokumen itu yang sudah lama berada di Sabah selain ia hanya sah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui pada harga RM120.

Mohd Shafie berkata penyelarasan dokumen warga asing menerusi PSS itu juga penting memandangkan seramai 586,367 PTI telah diusir dari Sabah sejak 1990 hingga 4 Sept 2019.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata tiga jenis dokumen pengenalan diri terbabit akan dihapuskan dan beliau mahu kesemua warga asing yang datang ke Sabah mempunyai dokumen sah.

Langkah itu penting bagi memastikan sektor perladangan di Sabah mempunyai tenaga kerja mencukupi memandangkan ketika ini ramai pemilik ladang menyatakan mereka kekurangan pekerja buruh, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *