Polis Kota Kinabalu Tahan Lelaki Disyaki Samun Empat Kedai 24 Jam

Habibi menunjukkan gunting yang digunakan suspek ketika menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kota Kinabalu dan melarikan sejumlah wang tunai dan sebungkus lampin pakai buang

KOTA KINABALU, 6 Sept: Polis dapat menyelesaikan empat kes samun kedai 24 jam di daerah ini dan Penampang dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 33 tahun, di Kampung Air di sini pada 2 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata lelaki warga Filipina itu ditahan selepas menyamun sebuah kedai 24 jam di Kampung Air di sini, pada jam 5 pagi dengan mengugut pekerja di kedai itu berusia 20 tahun menggunakan gunting.

Rakaman suspek melakukan samun kedai 24 jam di Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu.

Katanya dalam kejadian itu, lelaki itu yang didapati positif dadah jenis syabu, melarikan wang tunai sebanyak RM150 dan serta sebungkus lampin kanak-kanak dari kedai 24 jam itu.

Bertindak atas laporan polis, polis berjaya menahan lelaki itu pada jam 5 petang hari yang sama, juga di kawasan Kampung Air, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya turut dirampas daripada lelaki itu adalah gunting, lampin dan pakaian yang digunakan ketika menyamun kedai 24 jam di Kampung Air itu.

Menurutnya siasatan lanjut mendapati lelaki itu baru sebulan bergiat aktif menyamun kedai 24 jam dan mengaku telah menyamun empat kedai, iaitu dua di Kota Kinabalu dan dua lagi di Penampang.

Beliau berkata lelaki itu yang tidak bekerja kini ditahan reman dan mempunyai isteri serta seorang anak berusia dua tahun.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *