Maafkan Kami Malaysia!

Perlawanan dihentikan seketika akibat kekecohan penyokong Indonesia pada aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung karno

KUALA LUMPUR: Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi memohon maaf atas insiden kekecohan penyokong skuad Garuda ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, semalam.

Permohonan maaf itu dibuat beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Jakarta, hari ini.

Menurut laporan media Indonesia, detik.com, tindakan ganas penyokong tuan rumah bermula sebelum perlawanan lagi selepas segelintir daripada mereka didakwa membaling objek keras kepada kumpulan penyokong Malaysia yang tiba di stadium terbabit.

Malah, kekecohan itu berlanjutan ketika perlawanan dan selepas tamat permainan dengan keadaan lebih buruk apabila skuad Garuda tewas 2-3 kepada Malaysia yang menyaksikan penyokong skuad Harimau Malaya sukar untuk meninggalkan stadium.

“Pagi ini, saya membuat permohonan maaf bagi rakyat dan kerajaan Indonesia kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq atas peristiwa yang tidak baik yang kita semua saksikan,” kata Imam.

“Bola sepak akan terus menyatukan kita semua di muka bumi ini, persahabatan erat antara Indonesia dan Malaysia tidak boleh dirosakkan kerana bola sepak.”

Kerajaan Indonesia juga mengirimkan surat permohonan maaf secara rasmi kepada kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Syed Saddiq memberi reaksi positif atas permohonan maaf daripada kerajaan Indonesia dan memberi jaminan keselamatan terhadap penyokong skuad Garuda bagi aksi timbal balik kedua-dua pasukan di Kuala Lumpur pada November ini.

“Pertama, saya ucapkan terima kasih. Kami harus bersama untuk menyelesaikan masalah ini. Kami menolak budaya gengsterisme, kami akan pastikan bola sepak menyatupadukan kita semua, bukan memisahkan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *