Keselamatan Tiga Lapangan Terbang Di Sabah Ditingkatkan

Muhyiddin melihat proses penukaran kad pengenalan yang dibuat di dalam bas bergerak milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

KOTA KINABALU: Pemeriksaan keselamatan di tiga lapangan terbang di negeri ini akan dipertingkatkan melalui penambahan peralatan yang lebih canggih bagi mengelak daripada kemasukkan anasir-anasir jahat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut diambil bagi menjaga keselamatan Sabah berikutan peningkatan mendadak jumlah pelancong di negeri ini.

“Kemudahan dan peralatan yang perlu disediakan di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbangs Sandakan akan kita pertingkatkan untuk mengelakkan kebolosan dan kemasukkan atau keluarnya orang-orang yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan dokumen palsu atau pun tidak sah.

“Ini saya fikir adalah penting kerana kedatangan pelawat, pengunjung dan pelancong ke Sabah meningkat dengan begitu besar sekali jadi dalam masa sama perlu ada bentuk kawalan supaya tidak ada anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab mudah masuk keluar ke Sabah yang memberi kesan soal keselamatan di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut dibuat selepas kedua-dua pemimpin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah yang julung kali diadakan.

Tahun lalu, Sabah mencatatkan jumlah kehadiran pelancong sebanyak 3.87 juta orang iaitu jumlah yang meningkat saban tahun kerana keindahan alam sekitar negeri.

Berikutan peningkatan itu, pihak berkuasa perlu memantapkan lagi kawalan di setiap pintu masuk negeri bagi memastikan keselamatan rakyat negeri ini.

Muhyiddin berkata, jenis peralatan keselamatan yang akan diperitingkatkan masih perlu diputuskan kemudian kerana perlu dikaji terlebih dahulu dan melibatkan soal kos.

Terdahulu tengah hari ini, Muhyiddin yang dalam lawatan kerja sehari ke Sabah turut berkesempatan menyerahkan kad pengenalan gantian kepada 30 penduduk di Kampung Lok Kawi Baru, Putatan.

Permohonan menggantikan kad pengenalan itu dibuat oleh penduduk kampung tanpa perlu hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya melalui perkhidmatan bas bergerak JPN yang dibawa ke kampung-kampung untuk memudahkan urusan rakyat.

Turut hadir di majlis penyerahan itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *