Kerajaan Akan Keluarkan Pas Sementara Untuk Warga Asing Di Sabah Bermula Jun 2020 – Muhyiddin

Muhyiddin dan Shafie ketika dalam sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU, 6 Sept: Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing bersetuju mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) bermula 1 Jun 2020.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan itu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Katanya pengeluaran PSS bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

“Kerajaan memandang serius kepelbagaian dokumen dan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kepada warga asing di negeri ini yang menyukarkan penguat kuasa serta pengawalan aspek rekod keberadaan.

“Untuk meningkatkan penguatkuasaan dan memastikan rekod warga asing ini berpusat dan seragam, kerajaan memutuskan pengeluaran PSS,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Tiga dokumen itu kebanyakannya dikeluarkan kepada warganegara Filipina iatu kad IMM 13 kepada warga asing berstatus pelarian, sijil banci ketika program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan kad burung-burung yang dikeluarkan pada 1970 hingga 1990-an.

Muhyiddin berkata apabila PSS dikeluarkan, tiga dokumen itu akan ditarik balik.

Menurutnya PSS akan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen berbentuk kad dan mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari.

PSS akan diperbaharui sekali dalam tempoh tiga tahun dengan bayaran RM120, katanya.

Beliau berkata pengeluaran PSS diharapkan dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen serta dapat memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa.

Menurutnya sebuah badan khas di peringkat negeri akan ditubuhkan untuk memperhalusi pengeluaran PSS ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata jawatankuasa induk pengurusan warga asing Sabah juga bersetuju memberi fokus terhadap permasalahan membanteras kemasukan pergerakan individu yang menggunakan dokumen palsu atau dokumen individu lain melalui pintu masuk di Sabah.

Katanya ini terutamanya di tiga lapangan terbang utama di negeri ini iaitu di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dengan meningkatkan sistem dan fasiliti pemeriksaan.

Mengenai tindakan penguatkuasaan Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah, Muhyiddin berkata seramai 587,367 orang diusir sejak 1990 hingga 4 Sept lepas yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Katanya pada tahun ini, jumlah pengusiran sehingga 4 Sept lepas adalah seramai 8,342 PTI.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *