KBS Buat Laporan Rasmi Kepada Indonesia

Penyokong ditempatkan di kawasan selamat di dalam Stadium.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menghantar perutusan rasmi kepada kerajaan Indonesia berhubung insiden penyokong tuan rumah membaling objek besi, botol dan suar ke arah penonton Malaysia selepas Harimau Malaya menewaskan Garuda 3-2 dalam perlawanan pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam tadi.

Syed Saddiq berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga akan membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kejadian berkenaan.

“Sebentar tadi, saya bersama penyokong-penyokong Harimau Malaya menyaksikan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno. Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali. Terdapat juga beberapa penyokong Indonesia juga cuba merempuh kawasan Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika.

“Saya juga dimaklumkan FAM bahawa mereka akan membuat aduan rasmi kepada FIFA. Saya juga akan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sana. Gangsterism tidak akan ditolak ansur dalam apa jua cara,” katanya dalam kenyataan menerusi Twitternya di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, keselamatan pemain dan penyokong Malaysia keutamaan beliau yang masih lagi bersama-sama mereka sementara menanti keadaan di luar stadium.

“Kejadian ini amat menyedihkan buat industri sukan bola sepak yang sepatutnya menjadi medium penyatuan. Saya berjanji akan menuntut keadilan bagi rakyat Malaysia.

#SelamanyaHarimauMalaya,” katanya

Terdahulu, penyerang skuad Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada penghujung permainan bagi memastikan Malaysia meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Indonesia 3-2.

Skuad negara yang kali terakhir ‘menawan’ Gelora Bung Karno pada 2004 menerusi kemenangan 2-1.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *