Ahli Parlimen Sandakan Gesa MPS Sedia Kupon Parkir Bergores 25 Sen

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong menggesa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mempercepatkan penyediaan jualan kupon parkir bergores 25 sen bagi setengah jam.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk kegunaan dan kemudahan pengguna, khususnya yang hanya mahu parkir sebentar sahaja berbanding tempoh lama atau lebih setengah jam.

Ketika ini, kupon parkir bergores hanya pada kadar 50 sen sejam bagi petak kuning, serta RM1 dan RM2, masing-masing bagi petak merah dan hijau bagi setengah jam untuk parkir di pusat bandar Sandakan dan 11 bandar satelit di daerah ini.

“Sekiranya seseorang pengguna hanya parkir untuk urusan di bandar satelit atau pusat bandar Sandakan selama setengah jam ataupun 10 minit sahaja, mereka terpaksa menggunakan kupon 50 sen iaitu kadar untuk satu jam,” katanya.

Wong berkata demikian selepas melakukan kunjungan kepada Timbalan Presiden MPS, Mohd Hamsan Awang Supain di sini hari ini.

MPS menguatkuasakan parkir berkupon di pusat bandar sejak 15 Ogos lepas, manakala di 11 bandar satelit pada 2 Sept.

Wong berharap MPS dapat memanfaatkan sepenuhnya sistem kutipan yuran parkir di daerah ini dengan sebaik mungkin seperti membiayai perbelanjaan penghiasan bandar, pemotongan rumput berkala, penyelenggaraan jalan, membaiki sistem kumbahan, dan penyelenggaraan lampu jalan.

Pada kunjungannya itu, Mohd Hamsan memberitahu Wong bahawa MPS sedang dalam usaha mencetak dan menyediakan kupon bergores 25 sen itu dan dijangka sedia dijual kepada pengguna dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *