Polis Sabah Terima Maklumat Sama

Dua bot berkuasa tinggi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di perairan Sabah, memastikan keselamatan pulau peranginan sekitar ESSZone, Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima maklumat mengenai pergerakan jenayah rentas sempadan yang ada kaitan dengan penculikan, setiap minggu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata bagaimanapun maklumat mengenai pergerakan itu berlaku di perairan sebelah Filipina.

“Maklumat yang mereka terima itu (Indonesia), kita juga menerima maklumat yang sama, malah hampir setiap minggu kita menerima maklumat mengenai itu (pergerakan).

“Tetapi pergerakan itu di sebelah sana (perairan Filipina). Kita memang buat kawalan di sekitar itu (sempadan), jadi sekitar kawasan itu memang selamat,” katanya di sini.

Beliau mengulas mengenai Surat Pemberitahuan yang dikeluarkan Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu mengenai pergerakan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina yang ada kaitan dengan penculikan untuk wang tebusan di pantai timur Sabah.

Surat itu bertujuan memberi peringatan kepada kira-kira 300,000 warga Indonesia berdaftar di negeri ini supaya berwaspada dan berhati-hati ketika berada di laut.

Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani, berkata peringatan itu penting bagi memastikan warga Indonesia, khususnya yang bekerja di sektor perikanan sebagai nelayan dan kru kapal mengambil langkah keselamatan sekali gus tidak menjadi mangsa penculikan.

Mengulas lanjut, Omar berkata, semua pihak tidak perlu risau keselamatan mereka.

“Jangan risau sangat kerana pihak polis, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan semua elemen keselamatan yang terbabit sentiasa aktif melakukan rondaan di sekitar perairan pantai timur Sabah,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *