Arwah Lebih Hebat Daripada Saya – AR Badul

“Dia (anak) lebih hebat daripada saya…saya tengok liputan berita yang wartawan beri menjadikan saya rasa anak saya ini macam manusia yang paling berguna dalam dunia ini,” kata pelakon AR Badul mengenai anaknya Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie menyifatkan arwah anaknya itu diberi penghormatan tinggi itu kerana kerjayanya sebagai tentera serta keupayaan dan kebolehannya.

“Saya mewakili keluarga kedua-dua pihak, kami berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menguruskan jenazah arwah anak saya hingga selamat dikebumikan.

“Urusan dari mula hingga akhir diuruskan pihak tentera, saya rasa bangga anak saya menjadi seorang tentera kerana komitmen mereka (ATM) terhadap mangsa (anggota tentera) dalam apa sahaja kemalangan saya memang cukup berbangga,” katanya ketika ditemui selepas selesai istiadat pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Tambun di Ipoh hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga berterima kasih kepada keluarga menantunya, Nour Shafinar Harun yang turut sama membantu hingga jenazah selamat disemadikan.

“Isteri arwah minta dikebumikan di sini (Ipoh), bagi pihak kami adik-beradik minta dikebumikan di Kuala Lumpur, bagi pihak ibunya pula minta dikebumikan di Sabah, tetapi saya membuat keputusan menuruti permintaan isteri arwah.

“Jadi terima kasih pada semua pihak yang terbabit daripada semalam di Kuala Lumpur termasuk kunjungan bukan kecil-kecil orang daripada ATM semua pihak atasan, pangkat besar, pangkat bawah semuanya ada.

“Saya rasa terhutang budi dan saya rasa jika kami sendiri yang hendak mengendalikan tidak seindah dan tidak sesempurna yang kami alami hari ini,” katanya.

Badul juga berterima kasih kepada pihak media yang membuat laporan sepanjang insiden yang menimpa anaknya itu dari semalam hingga hari ini tanpa henti.

“Saya rasa ‘besar’ anak saya ini lebih besar daripada saya…tetapi sebenarnya ini adalah kerana keupayaan dan kerjaya serta kebolehannya.

“Dengan adanya ini (penghormatan) semua permasalahan mengenai insiden yang berlaku pada awalnya hilang,” katanya sayu.

Beliau turut berterima kasih kepada kepada penduduk tempatan yang memberi sokongan dan perhatian kepada arwah anaknya sepanjang proses pengebumian.

“Kami bukan orang sini, arwah anak saya pun bukan orang sini, cuma isterinya saja orang sini, mungkin kami tidak kenal rapat (penduduk) namun terbukti hari ini boleh dikatakan setengah penduduk kampung bersama menyaksikan dan membantu apa saja keperluan yang diperlukan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *