Pemasangan Air Setiap Rumah, Akhiri Derita Penduduk Di Pulau Gaya

KOTA KINABALU: Derita penduduk Kampung Pulau Gaya dan Kampung Kesuapan di Pulau Gaya yang tidak pernah mendapat bekalan air bersih sejak mendiami pulau itu lebih 60 tahun lalu bakal berakhir.

Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Datuk Junz Wong ke pulau berkenaan hari ini membawa khabar gembira selepas mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM5.3 juta bagi memasang paip saluran bekalan air ke setiap 510 rumah di situ.

Junz berkata, Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal telah memberi kebenaran untuk Kementerian Pembangunan Infrastruktur mengeluarkan peruntukan tersebut pada bila-bila masa untuk memulakan kerja-kerja pemasangan.

“Kita akan sambungkan air ke setiap rumah di Pulau Gaya tapi di kampung-kampung lain ikut fasa ada dua kampung yang mula dulu tapi ini projek perintis untuk kita tengok macam mana mengenai masalah penyaluran air, keperluan asas kepada masyarakat di seluruh Sabah sebab masalah ini bukan saja di Pulau Gaya tetapi seluruh Sabah.

“Maka kita akan jalankan projek ini sebagai perintis di Pulau Gaya menggunakan sistem prabayar. Saya rasa dengan cara ini kita boleh selesaikan banyak masalah itu seperti air tanpa hasil (NRW), saya rasa itu boleh selesai sebab setiap rumah disediakan meter,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya di sini.

Projek penyaluran bekalan air bersih ke Pulau Gaya merupakan salah satu janji dalam manifesto Parti Warisan Sabah dalam pilihan raya umum kepada penduduk di situ yang telah ditunaikan.

Menurut sejarah, Pulau Gaya yang kini mempunya lebih 15,000 penduduk telah didiami sejak tahun 1923 lagi, namun kerajaan yang memerintah sebelum ini termasuk Barisan Nasional tidak pernah menyediakan kemudahan asas itu secara keseluruhan.

Berikutan itu, penduduk di sana terpaksa membeli air dari bandar Kota Kinabalu yang dihantar oleh orang tengah pada harga RM40 setong bersaiz 200 liter.

IR AMARJIT SINGH

Sementara itu, Pengarah Jabatan Air Sabah, Amarjit Singh ketika ditemui berkata, pemasangan paip ke setiap rumah itu boleh dimulakan pada bila-bila masa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima bulan.

Katanya, penggunaan air akan dicaj pada harga RM1.30 untuk 1,000 liter menggunakan kad prabayar yang boleh dibeli daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sahaja sebagai pengedar tunggal.

“Kertas kerja sudah siap kita sebenarnya boleh dapat hari ini atau esok (surat kelulusan) jadi yang lima bulan tadi itu, katakan kita mula pada Oktober, Februari siap, saya akan mulakan ini minggu depan jika dapat surat hari ini sebab reka bentuk sudah ada saya cuma menunggu pengesahan.

“Mereka akan caj RM1.30 setiap meter kubik maka katakan 100 kubik meter darab dengan RM1.30. Kami akan jual kad mungkin nilainya RM100 jadi boleh guna sehingga habis dan ini hanya akan dijual oleh jabatan air saya tidak akan berikan pihak luar untuk kawal pengeluaran kad kalau tidak akan diklon yang merugikan kerajaan,” jelas beliau.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *