Dua Lelaki Dipercayai Ahli Kumpulan Abu Sayyaf Maut Ditembak

Omar menunjukkan gambar dua lelaki dipercayai ada kaitan dengan kumpulan militan negara jiran yang ditembak mati di perairan Lahad Datu, semalam. Foto Fardy Bungga

KOTA KONABALU: Dua lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan militan negara jiran ditembak mati di perairan Lahad Datu, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan darurat terserempak dengan dua pam bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira 10 batu nautika dari pantai.

Omar menunjukkan gambar dua lelaki dipercayai ada kaitan dengan kumpulan militan negara jiran yang ditembak mati di perairan Lahad Datu, semalam. Foto Fardy Bungga

Bagaimanapun, ketika cuba dipintas untuk pemeriksaan, salah seorang daripada lelaki itu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, untuk tujuan mempertahankan diri, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan balas ke arah kumpulan suspek.

Bagaimanapun katanya, salah satu bot yang dipercayai ahli kumpulan suspek berjaya melarikan diri ke arah perairan Filipina.

“Selepas keadaan reda, pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat lelaki terbaring di atas bot manakala seorang lagi suspek ditemui terapung berhampiran bot dengan beberapa kesan tembakan.

“Kedua-dua mayat suspek bersama pam bot kemudiannya dibawa balik ke Pengkalan Pasukan Polis Marin, Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Omar berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa namun kedua-dua suspek dipercayai berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui satu laras senapang jenis rifle, dua butir peluru dan kelongsong peluru.

“Kita percaya kumpulan suspek ini berkemungkinan cuba melakukan jenayah di perairan negara ini,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *