Buta Akibat Makan Kerepek Setiap Hari

Gambar Hiasan

LONDON: Seorang remaja buta pada usia 17 tahun akibat kekurangan vitamin dalam diet makanannya selepas dia hanya memakan kentang goreng, kerepek kentang dan daging terproses.

Mail Online melaporkan, remaja berasal dari Bristol yang kini berusia 19 tahun itu sangat cerewet dengan makanan dan tidak pernah makan buah atau sayuran selama 10 tahun.

Makanan hariannya adalah kentang goreng, kerepek kentang, sosej yang digoreng dan sandwic ham.

Remaja itu yang terpaksa berhenti belajar di sebuah kolej didapati kekurangan beberapa vitamin utama termasuk B12, zat besi dan Vitamin D.

Dia perlahan-lahan hilang penglihatannya dalam tempoh tiga tahun, bermula pada usia 14 tahun, satu keadaan yang dikenali sebagai Neuropati optik Pemakanan (NON).

Remaja itu memiliki ketinggian dan berat badan yang normal tetapi kekurangan nutrisi menyebabkan kerosakan kekal pada saraf di belakang matanya menyebabkan dia buta.

Dalam satu wawancara dengan The Times remaja itu berkata, keadaan itu menyebabkan dia kini terasing.

“Semasa kecil saya suka keluar dan bermain bola sepak bersama kawan-kawan tetapi kini saya terlalu takut untuk keluar rumah,” katanya.-Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *