Surat Waspada, Cegah Warga Indonesia Jadi Mangsa Culik – KJRI Kota Kinabalu

Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani

KOTA KINABALU, 3 Sep: Surat Pemberitahuan dikeluarkan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu mengenai pergerakan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina yang ada kaitan dengan penculikan untuk wang tebusan di pantai timur Sabah.

Surat itu bertujuan memberi peringatan kepada kira-kira 300,000 warga Indonesia berdaftar di negeri ini supaya berwaspada dan berhati-hati ketika berada di laut.

Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani berkata peringatan itu penting bagi memastikan warga Indonesia khususnya yang bekerja di sektor perikanan sebagai nelayan dan kru kapal mengambil langkah keselamatan sekali gus tidak menjadi mangsa penculikan.

Ini kerana sejak dari 2000 hingga 2018, lebih 20 kes penculikan melibatkan warga Indonesia dengan mengorbankan hampir 40 orang, kata Krishna ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini, hari ini.

“Memang awalnya kami mendapat informasi bahawa ada pergerakan daripada kelompok bersenjata dari selatan Filipina yang ada kaitannya dengan penculikan untuk wang tebusan. Setiap informasi yang kami terima, kami perlu mengingatkan warganegara Indonesia sebagai antisipasi, jangan sampai mereka menjadi korban (penculikan).

“Itu sahaja tujuan kami (mengeluarkan surat pemberitahuan) kerana adalah lebih baik mengingatkan warga kami untuk berhati-hati dan informasi ini adalah sebagai amaran kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Surat pemberitahuan yang tular sejak pagi semalam itu menyatakan tiga kelompok kumpulan Abu Sayyaf dilaporkan melakukan pergerakan ke perairan di timur Sabah pada 30 Ogos lepas bertujuan melakukan penculikan dengan menyasarkan beberapa buah kapal iaitu Kapal Batubara, Kapal Tanker, Nelayan Kapal Lengkong dan Kapal Tarik Udang.

Dalam surat itu terdapat beberapa tempat atau wilayah dinyatakan yang akan menjadi sasaran iaitu Bakongan, Bahala, Sandakan, Mamiang, Tambisan dan Taganak.

Krishna berkata, surat pemberitahuan itu bukan perkara baharu kerana pihaknya sebelum ini pernah mengeluarkan surat seumpama itu melibatkan aspek lain termasuk keadaan cuaca tidak menentu dan ombak besar selain turut bertemu dengan warga Indonesia di Sabah seperti di Sandakan, Kudat, Tawau, Semporna dan Lahad Datu bagi mengingatkan mereka untuk sentiasa mengutamakan keselamatan.

Beliau turut mengingatkan para majikan dan pemilik kapal supaya tidak menugaskan warga Indonesia di perairan terbabit memandangkan terdapat majikan tidak mahu bertanggungjawab sekiranya pekerja mereka menjadi mangsa kes penculikan untuk wang tebusan.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi Bernama semalam berkata, sehingga kini tiada pergerakan penjenayah daripada Abu Sayyaf dikesan dan pihaknya akan terus berwaspada serta bersiap sedia dengan sebarang ancaman penjenayah khususnya kumpulan pengganas berkenaan di perairan Zon Selamat Timur Sabah.

ESSCom juga sedia maklum tentang surat yang tular itu dan telah menghubungi pasukan keselamatan Filipina bagi mengesan pergerakan kumpulan berkenaan, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *