Peluru Dijadikan Azimat, Wanita Warga Singapura Ditahan Di KKIA

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga Singapura ditahan selepas membawa satu objek disyaki peluru di kawasan pengimbasan balai berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, suspek berusia 40 tahun bersama beberapa rakannya dijadualkan menaiki penerbangan balik ke negaranya, jam 11.10 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Ketika sedang menjalankan proses imbasan, kakitangan KKIA yang bertugas menemui satu objek dipercayai peluru.

Difahamkan, suspek memperoleh peluru itu daripada rakannya ketika bercuti di Thailand yang diberikan oleh sami dan digunakan sebagai azimat.

Suspek tidak tahu yang objek itu adalah peluru jenis 5.56mm dan menggunakannya sebagai hiasan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut manakala peluru itu dirampas untuk siasatan sama ada ia masih hidup atau sebaliknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Sementara itu, Habibi menasihati penumpang supaya tidak membawa apa-apa objek yang menyerupai amunisi senjat api seperti peluru, benda tajam dan sebagainya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *