Ketua Menteri Ziarah Mangsa Kebakaran Di Otentik

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melawat mangsa kebakaran di Kampung Otentik, hari ini. – Foto BESTAWAUfm

TAWAU; 30 OGOS 2019 (Jumaat) – Kerajaan negeri akan berusaha menyusun atur setiap perkampungan di negeri ini dengan baik dan terancang khususnya dalam aspek keselamatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu penting bagi memastikan setiap rumah yang didirikan diteliti secara mendalam selain mengatasi insiden yang tidak diingini seperti kebakaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melawat mangsa kebakaran di Kampung Otentik, hari ini. – Foto BESTAWAUfm

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 112 ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Otentik Tanjung Batu Keramat di Tawau.

Justeru katanya, mengenai kebakaran di Kampung Otentik baru-baru ini, Datuk Seri Mohd Shafie telah meminta Majlis Perbandaran Tawau (MPT) meneliti langkah-langkah jangka panjang yang boleh diambil bagi mengatasi masalah perkampungan di daerah ini termasuk 
kebenaran pembinaan semula kediaman oleh mangsa di kawasan kebakaran.

Dalam pada itu, beliau yang menzahirkan takziah diatas musibah itu berharap agar mangsa kebakaran sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan khususnya Warga emas dan kanak-kanak.

Datuk Seri Mohd Shafie hari ini meluangkan masa kira-kira 4 jam bermula 1 tengah hari melawat lokasi kebakaran dan menziarahi mangsa-mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Serbaguna OT Jantan di Kampung Tanjung Batu Darat.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Jimmy Wong Sze Pin, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk IR Amrullah Kamal.

Sementara itu, kehadiran Ketua Menteri ke kawasan kebakaran disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat selain berharap agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pembinaan semula rumah di kawasan asal.

Kira-kira 69 buah rumah yang didiami sebanyak 511 orang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Otentik Tanjung Batu Keramat Isnin lepas.

Kebakaran yang bermula kira-kira pukul 7.30 malam itu merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah yang berdekatan, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sumber: #BESTAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *