Polis Gempur Kampung Sembulan

Polis memeriksa individu yang ditahan kerana disyaki terbabit penyalahgunaan dadah dalam Op Sarang di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Insan PDRM

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu terus menggempur kawasan sekitar Kampung Sembulan di sini, bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pengedar dan penagih tegar dalam Op Sarang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu seramai tujuh suspek berusia 22 hingga 44 tahun ditahan atas penyalahgunaan dadah.

Antara individu yang ditahan polis dalam Op Sarang di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata serbuan dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan memeriksa 16 individu disyaki terbabit penyalahgunaan dadah.

“Hasil serbuan itu, seramai 16 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, seorang ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala enam individu ditahan mengikut Seksyen 15(1) (A) akta yang sama.

“Polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 2.20 gran dianggarkan bernilai RM330 mengikut harga dadah semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dadah dalam Op Sarang di Kampung Sembulan. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

Habibi berkata, Op Sarang bertujuan mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud dan juga penagih tegar di sekitar Kampung Sembulan.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya juga sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *