Warisan Kalabakan Salur Sumbangan RM34,800 Kepada Mangsa Kebakaran

Saripuddin menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

TAWAU: Warisan Parlimen Kalabakan telah menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM34,800kepada mangsa kebakaran di Kg Tanjung Batu Keramat-Otentik, di sini semalam.

Pembantu Menteri Kewangan Saripuddin Hatta berkata sumbangan itu akan disalurkan kepada 87 ketua keluarga yang terlibat.

“Setiap ketua keluarga yang terlibat  akan mendapat sebanyak RM400, tidak termasuk bantuan dari segi barangan lain,” katanya.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal juga akan turun padang melihat keadaan mangsa yang terlibat.

“Ketua Menteri dijangka akan datang sendiri untuk melihat keadaan mangsa esok (hari ini) selepas solat Jumaat.

“Saya juga mendapat khabar bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan datang mencemar duli melawat mangsa di sini,” katanya.

Saripuddin juga berterima kasih kepada semua yang terlibat membantu mangsa kebakaran terutamanya Jabatan Bomba, Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan dan sayap-sayap Warisan Kalabakan.

“Sayap Warisan telah turun membantu mangsa kebakaran semenjak dari hari kejadian lagi dan sehingga sekarang mereka tidak berhenti datang menyalurkan bantuan,” jelasnya.

Menurutnya, mangsa yang belum menerima bantuan semalam boleh datang ke pondok pendaftaran sementara  parti Warisan di sini untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *