SK Kuala Merotai Bina Wau Gergasi Merdeka

TAWAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Merotai mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya membina wau gergasi dengan ketinggian 30 kaki dan lebar 28 kaki.

Wau itu dibina sempena pelancaran Bulan Kemerdekaan SK Kuala Merotai.

Murid-murid SK Kuala Merotai bergambar kenangan bersama guru dan staf sokongan sekolah.

Guru Besar SK Kuala Merotai Marsadiah Awang berkata, wau gergasi itu telah dibina hasil kolaborasi idea antara guru dan staf sokongan sekolah.

Menurutnya, penghasilan wau itu sebagai usaha untuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah khususnya murid-murid.

“Selain mengimarahkan rasa cintakan negara, adalah diharapkan aktiviti seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara guru, staf sokongan sekolah, murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melalui kerjasama menghasilkan wau berkenaan,” katanya.

Marsadiah memberitahu, wau gergasi merdeka itu diperbuat darpada 43 rangka buluh, dua batang aluminium dan dipasang di bahagian tengah wau sebagai tulang penyokong, serta kain putih sepanjang 54 meter kemudian dilukis mengikut corak yang dirancang.    

“Keunikan wau gergasi merdeka ini adalah ia menggabungkan corak Jalur Gemilang di bahagian sayap, logo sekolah di bahagian tengah dan corak bendera negeri Sabah pula di bahagian ekor,” jelasnya.

Projek wau gergasi merdeka SK Kuala Merotai itu diketuai oleh Dudik Yuliano Gatot Risdianto.

Beliau berkata, wau itu berjaya disiapkan dalam tempoh sebulan dan berjaya didirikan di perkarangan sekolah pada 19 Ogos lalu sempena pelancaran Bulan Kemerdekaan.              

“Projek ini juga adalah kesinambungan daripada aktiviti tahunan Bulan Kemerdekaan SK Kuala Merotai. Di samping itu, warga SK Kuala Merotai juga telah membina replika menara KLCC dan Jalur Gemilang dengan menggunakan bahan terbuang iaitu botol plastik air mineral dan kotak telur,” katanya.

Antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang Bulan Kebangsaan oleh pihak sekolah ialah pertandingan wau tercantik dan tertinggi, busana merdeka, basikal merdeka, slot tayangan dan kempen derma darah.  

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *