Sabah Adalah Kerajaan Mesra Perniagaan

TAWAU, 29 Ogos: Kerajaan Sabah akan berusaha keras dalam memastikan iklim pelaburan di negeri ini terus kondusif, sekali gus mengekalkan pertumbuhan ekonomi positif bagi mengekalkan dasarnya yang mesra perniagaan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal.

“Ini adalah komitmen kami (kerajaan), dan ianya akan terus dilakukan melalui pelaksanaan pelbagai dasar serta inisiatif yang bertujuan membawa lebih banyak pembangunan ekonomi kepada rakyat,” katanya dalam ucapan pada majlis angkat sumpah ahli jawatankuasa Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau ke 20 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Hiew Vun Zin

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata kerajaan negeri terbuka kepada kritikan, maklum balas serta idea yang membina demi pembangunan Sabah.

“Kita percaya sebarang isu  boleh dibawa ke meja perbincangan untuk diselesaikan secara baik dan berhemah,” katanya.

Di samping itu, beliau menggalakkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau untuk meningkatkan kerjasama dengan persatuan lain yang terdapat di Sabah.

“Selain berkongsi pengalaman, ianya juga boleh mengukuhkan hubungan serta dapat mengembangkan rangkaian perniagaan serta berkongsi kepakaran ilmu masing-masing.

“Ini saya yakin akan menghasilkan situasi menang-menang untuk semua, sekali gus membolehkan Sabah menjadi lebih kompetitif dan membangun dengan pantas,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau, Lim Teck Keong berkata, persatuan itu berinisiatif untuk memperkenalkan sekali gus mempromosi transformasi perindustrian serta pertanian di daerah ini.

Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau telah ditubuhkan pada tahun 1981 dan sehingga kini menjadi persatuan terbesar di Tawau dengan terdapat 44 persatuan cina bergabung  dibawahnya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *