Polis Nafi Dakwaan Cubaan Culik Tiga Pelajar Di Tawau

Gambar yang tular media sosial Whatsapp – Foto Sosial Media

TAWAU: Polis menafikan cubaan culik tiga murid perempuan di sebuah sekolah rendah di sini, yang tular di media sosial, sejak pagi tadi.

Mesej dan gambar mendakwa cubaan culik tiga murid berlaku di pondok hentian bas berhampiran sekolah rendah berkenaan oleh suspek yang menggunakan sebuah van berwarna putih.

Gambar yang tular media sosial Whatsapp – Foto Sosial Media

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata gambar tiga murid yang menjadi tular itu adalah tidak benar dan tiada kaitan dengan kes culik.

Beliau berkata, berita yang menjadi tular menerusi aplikasi WhatsApp itu adalah palsu dan pihaknya tidak pernah menerima laporan kes terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan penyebaran mesej dan berita palsu berkenaan kerana perbuatan itu boleh mencetuskan panik serta resah dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, seorang guru di sekolah terbabit yang enggan namanya disiarkan mengesahkan gambar tiga murid yang tular viral itu adalah murid sekolah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bukan membabitkan kes cubaan culik sebaliknya disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan motif yang tidak diketahui.

“Kita harap orang ramai di luar sana janganlah salah gunakan teknologi yang ada pada hari ini dengan menyebarkan berita yang tidak sahih,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *