APMM Tahan Bot Pukat Tunda, Rampas Satu Tan Ikan Di Sandakan

Bot pukat tunda ditahan Maritim Malaysia kerana disyaki menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai di Sandakan. Gambar Ihsan APMM

ANDAKAN, 29 Ogos: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas dikesan menjalankan aktiviti menunda ikan di kawasan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai di Kinabatangan awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata bot itu ditahan ketika sedang leka menunda lebih kurang dua batu nautika timur laut Sungai Asam, Kinabatangan pada pukul 6 pagi.

Tekong dan awak-awak ditahan kerana disyaki menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai di Sandakan. Gambar Ihsan APMM

“Hasil pemeriksaan lanjut, bot tersebut juga melakukan kesalahan lain di bawah Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 iaitu nama tekong tidak sama seperti dalam lesen.

“Seorang tekong lelaki warga tempatan berumur 25 tahun bersama tiga awak-awak warga Indonesia semuanya lelaki berumur antara 21 hingga 33 tahun ditahan dan hasil ikan campur dianggarkan seberat satu tan dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *