Suami Cekik, Tampar dan Ugut Bunuh Isteri Akibat Cemburu

DSP Mohd Haris Ibrahim

PENAMPANG: Seorang lelaki bukan sahaja mencekik malah menampar muka isteri bertalu-talu selepas mengesyaki mangsa curang dengan lelaki lain.

Tidak cukup dengan itu, kejadian di Pavilion Bundusan, di sini, semalam, suspek warga Pakistan turut bertindak mengugut untuk membunuh isterinya yang berusia 18 tahun.

Susulan kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang bimbang keselamatannya membuat laporan polis di Balai Polis Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berlaku perselisihan faham antara suspek dengan isterinya selepas menuduh mangsa berlaku curang dengan lelaki lain.

“Mangsa bagaimanapun menafikan menyebabkan suspek bertindak mencekik leher isterinya sambil mengugut untuk membunuhnya.

“Suspek turut menampar muka isterinya bertalu-talu serta menolak mangsa hingga jatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, mangsa sakit dibahagian muka dan badan.

“Suspek berusia 20 tahun ditahan selepas mangsa membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *